Sri Paus Fransiskus tersentuh oleh doa dari pelbagai pihak untuk kesembuhannya

Pejabat Akhbar Takhta Suci mengumumkan pada 7 Julai bahawa kesihatan Sri Paus Fransiskus semakin pulih dan memuaskan setelah menjalani pembedahan usus besar pada 4 Julai 2021.

Jul 10, 2021


ROMA:
Pejabat Akhbar Takhta Suci mengumumkan pada 7 Julai bahawa kesihatan Sri Paus Fransiskus semakin pulih dan memuaskan setelah menjalani pembedahan usus besar pada 4 Julai 2021.

“Sri Paus Fransiskus tersentuh apabila menerima banyak pesan dan kasih sayang yang diterima selama beberapa hari ini, dan mengungkapkan rasa terima kasihnya atas kedekatan dan doa,” kata juru bicara media Vatikan, Matteo Bruni.

Bruni mengatakan Sri Paus makan secara teratur dan tidak lagi memerlukan perawatan intravena.

Vatikan mengatakan pada 4 Julai bahawa Sri Paus berada di hospital untuk menjalani operasi menghilangkan penyempitan usus besar yang disebabkan oleh divertikulitis, suatu kondisi umum yang melibatkan pembentukan benjolan kecil atau kantung di dinding usus besar.

Operasi yang dilakukan dengan anestesia umum itu berlangsung selama tiga jam, termasuk untuk hemikolektomi atau pengangkatan satu sisi usus besar.

Bruni mengatakan pada 7 Julai bahawa pemeriksaan terakhir terhadap Bapa Suci mendapati ada “stenosis divertikular [penyempitan] yang parah dengan tanda-tanda divertikulitis sklerosis [pengerasan].

Tindakan itu merupakan operasi besar pertama Sri Paus Fransiskus yang berusia 84 tahun dalam tempoh kepausannya. Pada tahun 2019, beliau pernah menjalani pembedahan katarak.

Pelbagai pemimpin agama dan politik di seluruh dunia telah menyampaikan harapan dan doa mereka untuk Bapa Suci semasa beliau menjalani proses pemulihan di rumah sakit.

Sri Paus Emeritus Benediktus XVI, yang tinggal di Biara Mater Ecclesiae di Kota Vatikan, juga berdoa untuk Paus Fransiskus.

Uskup Agung Georg Gänswein, setiausaha peribadi Benediktus, mengatakan kepada media Itali bahawa Sri Paus Emeritus “dengan penuh kasih mengarahkan fikirannya kepada Sri Paus Fransiskus dan dengan sungguhsungguh berdoa untuknya,” demikian lapor media Vatikan pada 6 Julai.

Sri Paus Fransiskus tinggal di Rumah Sakit Universiti Gemelli, yang terletak di bukit tertinggi Roma, Monte Mario.

Bilik yang digunakan untuk rawatan Sri Paus Fransiskus adalah ruangan yang sama digunakan oleh Santo Sri Paus Yohanes Paulus II semasa menjalani rawatan dan operasi usus besar pada tahun 1992 serta rawatan selepas ditembak pada tahun 1981.

Pada bulan Julai, Sri Paus Fransiskus biasanya beristirahat dari kesibukannya. Audiensi hari Rabu dengan umat umum dan pertemuan lainnya ditangguhkan sepanjang bulan ini. Satu-satunya kegiatan publik yang dijadualkan pada bulan Julai ialah Angelus pada hari Minggu. — Media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments