Terapi ketawa untuk wanita Yerusalem, bantu kurangkan tekanan jiwa

Patriarkat Latin Yerusalem telah mengadakan bengkel terapi ketawa yang akan membantu wanita Palestin di Kota Suci untuk mengatasi tekanan psikologi dan menyembuhkan luka-luka batin mereka.

Jul 10, 2021

YERUSALEM: Patriarkat Latin Yerusalem telah mengadakan bengkel terapi ketawa yang akan membantu wanita Palestin di Kota Suci untuk mengatasi tekanan psikologi dan menyembuhkan luka-luka batin mereka.

“Terapi ketawa” atau “terapi senyum” bertujuan membuat orang ketawa dalam sesi kumpulan dan individu serta dapat membantu mengurangkan tekanan dan meningkatkan kemahiran interpersonal mereka.

Enam belas wanita Palestin dari Yerusalem Timur, menghadiri bengkel yang dianjurkan oleh jabatan perkhidmatan sosial Patriarkat Latin Yerusalem, demikian laporan Fides.

Bengkel itu merupakan inisiatif paderi paroki, Amjad Sabbara dan dikendalikan oleh seorang pakar, Bianca Morcos Tourjman. Ia merupakan program penting untuk menyokong wanita dan didanai oleh Patriarkat Latin sejak awal musim pandemik ini. Program dijalankan dengan kerjasama Caritas Jerusalem dan Pusat Ekumenis Al-Sabil Palestin.

Menurut Fides, terapi ketawa bertujuan untuk menolong ketidakselesaan dan penderitaan psikologi yang dialami oleh ramai wanita Palestin di Yerusalem, terutama selama satu setengah tahun terakhir ini, di mana masalah sosial dan keadaan ekonomi kronik yang dihadapi oleh komuniti Palestin di Kota Suci semakin memburuk akibat kawalan pergerakan, pengangguran, ketakutan dan masalah kesihatan yang berkaitan dengan pandemik.

Sebilangan besar wanita yang menyertai bengkel itu merupakan golongan yang menganggur sehingga tidak mampu menanggung kos sewa dan kehidupan.

Sebahagian besar daripada mereka, atau suami mereka, bekerja di hotel dan restoran yang tidak mempunyai pelanggan disebabkan pandemik yang gangguan aliran penziarah dan pelancong dari luar negara.

Patriarkat Latin menawarkan program ini untuk wanita dan gadis di Yerusalem Timur serta memberikan kemahiran asas yang bertujuan meningkatkan keusahawanan wanita di daerah itu.

“Wanita di Yerusalem Timur mengalami tekanan yang kuat. Wanita adalah tonggak dan dasar bagi setiap keluarga,” kata Dima Khoury, pengarah jabatan perkhidmatan sosial Patriarkat Latin

“Terapi dapat membantu mereka menyembuhkan luka dengan menyembunyikannya di bawah sedar dan untuk melepaskan tekanan dan kemarahan dengan cara yang sihat demi memelihara atau memulihkan keseimbangan psikologi mereka.”

Menurut laporan Institut Insurans Nasional Israel pada tahun 2012, hanya 13 peratus wanita Palestin di Yerusalem yang bekerja. — media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments