Terima hosti kudus dua keping haruskah dikembalikan?

Terima hosti kudus dua keping haruskah dikembalikan?

Oct 05, 2018

Soalan: Pada saat penerimaan komuni, apakah umat harus mengembalikan hosti kudus jika menerima lebih dari satu? Ketika tidak mengembalikan, saya sering merasa bersalah kerana tidak jujur. Bagaimana yang seharusnya dilakukan? — Lina

Jawaban: Pertama, perlu diketahui lebih dahulu Ajaran Gereja bahawa Yesus Kristus hadir secara utuh dalam setiap rupa hosti suci. Kehadiran Kristus yang utuh itu tidak bertambah, jika hosti yang diterima itu lebih dari satu atau lebih besar.

Demikian juga, kehadiran Kristus tidak berkurang sedikit pun, jika hosti kecil itu dipecahkan menjadi bahagian-bahagian lebih kecil. Kehadiran Kristus tidak bergantung kepada besar kecil atau banyak sedikit rupa roti, kerana dalam setiap bahagian hosti, Kristus tetap hadir secara utuh dan sama. Kehadiran Kristus serta rahmat yang diberikan, tidak bergantung kepada kuantiti, kerana kehadiran Kristus dan kuasa-Nya yang bekerja dalam roti yang sekecil apa pun. Jadi, kuantiti — besar, kecil, sedikit atau banyak — tidak mengubah kehadiran Kristus yang sungguh, nyata, dan substansial.

Kedua, dengan berpegang Ajaran Gereja tersebut, hal-hal praktik tentang menerima hosti lebih dari satu akan lebih mudah difahami.

Jika terjadinya pemberian hosti lebih dari satu kepada seorang umat, dan petugas pembahagi sudah tahu, lebihan hosti boleh diberikan lebih dari satu.

Tidak perlu berasa bersalah kerana berasa tidak jujur. Pemberian hosti lebih dari satu itu bukan kehendak penerima dan sudah diketahui petugas pembahagi komuni. Jika hal ini terjadi dalam Misa, di mana jumlah hosti biasanya sudah dihitung dan terbatas, maka lebihan hosti sebaiknya dikembalikan.

Jangan sampai ada umat yang menerima secara berlebih, tetapi ada umat tidak menerima kerana kehabisan hosti. Kadang-kadang juga terjadi dalam Misa, jumlah hosti terlalu banyak. Jika imam yang memimpin Misa tidak mahu membawa pulang dan menyimpan di tabernakel, maka lebihan hosti itu boleh dibahagikan lagi kepada umat. Jelas, jika hal ini terjadi, lebihan hosti tidak perlu dikembalikan, kerana memang bermaksud menghabiskan hosti yang sudah dikonsekrasikan.

Soalan II: Saya pernah mendengar tentang makam Bonda Maria di Yerusalem. Apakah makam Bonda Maria ini tidak bertentangan dengan dogma Maria Diangkat ke Syurga? - Paulus

Jawaban: Pertama, menurut tradisi yang sudah sangat kuno, Maria melewatkan masa tua di Yerusalem dan wafat di sana. Hal ini dapat dijumpai dalam beberapa tulisan apokrif abad II sampai IV.

Meskipun termasuk apokrif, namun tulisantulisan itu memiliki nilai historis untuk menunjukkan tradisi awal yang ada. Tradisi ini diterima para Bapa Gereja dari Timur mahupun Barat. Jadi, Maria mengalami kematian atau “dormitio” atau “transitus” di Yerusalem, kemudian dimakamkan di sana. Makam Maria menjadi satu tempat ziarah di Tanah Suci.

Memang di Tanah Suci ada dua tempat “dormitio” iaitu “dormitio virginis” di Bukit Sion dan “Basilica of Dormition” di Bukit Zaitun. Menurut tradisi, Maria wafat di “dormitio virginis” di Bukit Sion, dan kemudian dimakamkan di “Basilica of Dormition" di Bukit Zaitun.

Kedua, makam Bonda Maria tidak bertentangan dengan dogma Maria Diangkat ke Syurga, kerana menurut tradisi yang sangat kuno, Bonda Maria mengalami kematian terlebih dahulu dan baru kemudian diangkat ke syurga dengan jiwa dan raga yang telah disucikan. Memang pernyataan dogma Maria Diangkat ke Syurga tidak secara khusus memperincikan tentang kematian Maria dan membiarkan butir ini tetap terbuka untuk dibincangkan.

Tetapi para Bapa Gereja baik dari Barat (Ambrosius, Agustinus) mahupun dari Timur (Efrem, Epifanius, Yohanes Damascenus) menyatakan bahawa Maria mengalami kematian. Demikian pula pendapat umum para teologi saat ini cenderung menyatakan bahawa Maria mengalami kematian dahulu, baru diangkat ke syurga. — Father Dr Petrus Maria Handoko CM, hidupkatolik

Total Comments:0

Name
Email
Comments