Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan sukacita

Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan sukacita

Nov 08, 2018

HARI MINGGU BIASA
KE-32 TAHUN B
1 RAJA 17:10-16
IBRANI 9:24-28
INJIL MARKUS 12:38-44

Wang adalah akar kepada semua kejahatan,” demikian ungkapan yang sering kita dengar apabila orang mulai memperkatakan tentang wang.

Maka tidak hairanlah ramai umat Katolik berpendapat bahawa wang adalah suatu topik yang seharusnya tidak dimasukkan ke dalam khutbah mingguan, kerana merasakan bahawa ia tidak mempunyai nilai kerohanian dan tidak layak dihubung kaitkan dengan pujian dan penyembahan.

Ada juga yang menyatakan bahawa salah satu sebab mengapa orang tidak mahu datang ke gereja disebabkan oleh isu wang. Namun berdasarkan Injil hari ini, nampaknya Yesus tidak melihat adanya pertentangan di antara, “Menghadapi peti persembahan dan memperhatikan bagaimana orang banyak memasukkan wang ke dalam peti itu” (ay 41), dengan mewartakan Kerajaan Tuhan.

Lagi pun, sekiranya agama mahu memperkatakan tentang keperluan kita, harapan dan segala kerisauan kita, maka kita perlu bercakap tentang perlunya wang yang sebenarnya inti daripada segala masalah kehidupan kita.

“Berapakah harganya…?” adalah ungkapan yang selalu bermain-main di kepala dan di bibir kita setiap hari. Saya pasti para paderi dan tentunya uskup kita pun mengalami betapa beratnya beban yang dipikul oleh mereka dalam mentadbir Gereja dan keuskupan kita. Menurut Injil hari ini, terdapat dua kelas orang yang memberi derma wang kepada gereja. Orang-orang kelas pertama adalah orang-orang kaya daripada golongan “ahli-ahli Taurat” yang menurut Yesus, “Suka duduk di tempat terdepan di rumah ibadat dan di tempat dalam perjamuan, yang menelan rumah jandajanda, sedang mereka mengelebui mata orang dengan doa yang panjang- panjang” (ay 38-40).

Orang-orang kelas kedua adalah orang-orang miskin yang diwakili oleh janda miskin tersebut. Sementara Yesus duduk menghadapi peti persembahan, Yesus melihat orang-orang kaya memasukkan wang yang banyak ke dalam peti persembahan sedangkan janda miskin tersebut memasukkan hanya “dua peser iaitu iaitu satu duit” (ay 42). Yesus memuji janda tersebut kerana telah mempersembahkan semua wang miliknya sedangkan orang-orang kaya tersebut hanya memberi dari kelimpahannya. Orang-orang Saduki yang menelan rumah janda-janda dan janda-janda miskin yang diperalatkan oleh orangorang Saduki itu, mewakili dua kelas orang yang terdapat di dalam masyarakat kita.

Anehnya pula, orang-orang kelas pertama yang seharusnya menjaga orang-orang kelas kedua, malah “harapkan pagar, pagar makan padi.” Orang kelas kedua, iaitu orang-orang kebiasaan, miskin bagaikan ayam, “Kais pagi makan pagi,” malah berbuat banyak untuk sesamanya dan mendapat pujian daripada Tuhan kerana dengan tulus ikhlas memberi derma segala apa yang mereka miliki.

Di dalam kehidupan harian kita, kita tidak terlalu sukar menemukan kedua-dua golongan orang tersebut. Seperti orang-orang Saduki yang suka menyalahgunakan kuasa, kita dapat menemukan orang-orang seperti segelintir pegawai polis, (maaf ini contoh sahaja) yang seharusnya penegak hukum, tetapi mereka sendiri melangar hak-hak asasi manusia.

Para pemilik dan pengurus bank yang seharusnya mengurus dan menjaga wang para penabung, malah mereka sendiri terlibat di dalam pelbagai komplot pengurusan kewangan secara haram yang melibatkan wang para penabung.

Demikian juga dengan para ahli politik, para pemungut hasil dan pelbagai cukai. Mereka seringkali mengganggu, menyerbu dan memberi tekanan bukan memberi bantuan, nasihat atau memberi pilihan yang lain. Memang masih banyak lagi penyalahgunaan kuasa di luar sana, namun apa kurangnya di dalam Gereja kita sendiri malah di dalam keluarga. Orang kelas kedua diwakili oleh janda miskin tersebut. Merekalah yang mengalami pelbagai keadaan ketidakadilan, tekanan dan gangguan yang tidak seharusnya terjadi pada mereka.

Seharusnya mereka mempunyai sebab untuk marah kepada orangorang golongan kelas pertama. Namun mereka melakukan juga yang terbaik dan terus bermurah hati terhadap Tuhan dan sesamanya walaupun mengalami pelbagai tekanan daripada golongan kelas pertama. Mereka dapat bersikap demikian dengan penuh keikhlasan disebabkan mereka telah menemukan jaminan keselamatan dan kedamaian hati.

Menurut hemat saya, Injil hari ini bukanlah mahu mempermalukan orang-orang kaya untuk menderma lebih banyak kepada Gereja dan badan-badan amal, tetapi sebagai suatu penggilan bagi kita semua untuk bersikap lebih dermawan.

Setiap hari kita dipanggil untuk membuat pilihan. Sama ada kita berpihak pada orang Saduki itu atau pada janda miskin tersebut. Memang kita tidak boleh bersikap berkecuali dalam hal ini sebab Yesus telah memberi pilihan-Nya yang jelas. Jika kita berpihak pada janda miskin tersebut, maka kita akan berpihak pada Tuhan.

Maka, apapun kedudukan kita masing-masing ketika ini, setiap kita seharusnya memberikan persembahan kita. Ianya akan lebih bermakna lagi jika pemberian kita itu lahir dari semangat yang tulus ikhlas sebab “Tuhan mengasihi orang yang memberi dengan sukacita” (2Kor 9:7). — JL

Total Comments:0

Name
Email
Comments