Umat kembali raya Misa Kudus di Keuskupan Keningau

“Saya bersyukur kepada Tuhan kerana pihak berkuasa membenarkan Umat Kristian merayakan Misa kudus di Gereja-Gereja Pusat dan juga Ibadat Komuni di Chapel-Chapel khusus pada Hari Minggu, walaupun bilangan kehadiran umat terhad untuk mematuhi SOP.

Jun 26, 2020

KENINGAU: “Saya bersyukur kepada Tuhan kerana pihak berkuasa membenarkan Umat Kristian merayakan Misa kudus di Gereja-Gereja Pusat dan juga Ibadat Komuni di Chapel-Chapel khusus pada Hari Minggu, walaupun bilangan kehadiran umat terhad untuk mematuhi SOP.

Melihat kehadiran umat yang terhad ini, sangat mengharukan dan menyedihkan saya. Akan tetapi kita perlu menyedari, sabar dan bekerjasama bagi memutuskan rantaian pandemik Covid-19. Mari kita teruskan doa dan keyakinan kita terhadap Tuhan bahawa Dia tetap menyertai dan mengambil peduli terhadap kebajikan kita umat-Nya,” kata Uskup Cornelius Piong, selepas memimpin Misa Kudus pertama selepas tiga bulan ditangguhkan akibat pandemik coronavirus.

Pada 20 dan 21 Jun lalu, Paroki Katedral St. Francis Xavier dan Pusat Ziarah Keluarga Kudus Nulu Sosopon telah memulakan kembali Misa Kudus selepas ditangguhkan selama tiga bulan bagi membendung  penularan pandemik Cov id-19.

Di KSFX, Misa Kudus Senja, 20 Jun 2020 dipimpin oleh Father Bonaventure Unting. Terdapat juga Misa Senja di stasi luar iaitu Bingkor dan Apin-Apin. Pada hari Minggu, 21 Jun 2020, diadakan dua Misa di KSFX yang  diadakan di Dataran KSFX.

Hanya 100 orang umat sahaja yang hadir untuk kedua-dua Misa yang diadakan pada jam 8.00 pagi dan 10.00 pagi.  Misa dijalankan selang dua jam bagi membolehkan  dataran atau tempat beribadat itu dibersihkan (sanitized) terlebih dahulu sebelum umat dibenarkan masuk. 

Uskup Cornelius Piong pula memimpin Misa Kudus di Pusat Ziarah Keluarga Kudus, Nulu Sosopon dengan kehadiran 50 orang umat pada jam 10.30 pagi. Sebelum itu prelatus itu terlebih dahulu memimpin Misa Kudus dalam talian pada jam 8.00 pagi.

Untuk membantu dalam melancarkan SOP, Kerasulan Belia Kato lik (KBK) dengan kerja sama Persatuan Hospis telah diberikan tugas mencatat nama dan memeriksa suhu, memastikan umat memakai penutup mulut, membersihkan tangan dan tapak kasut di pintu masuk ke perayaan Misa.

Pengerusi Majlis Pastoral KSFX, Sdri Nancy Nelly mengatakan SOP dipatuhi dengan ketat semasa Misa kerana mengabaikan mana-mana bahagian dalam SOP akan membahayakan umat, pemimpin gereja dan diri sendiri sebab “musuh”  yang kita hadapi tidak dapat dilihat.

Setiap mesyuarat dan keputusan yang dilakukan oleh MPP melibatkan KKM ,PDRM dan Jabatan Perpaduan bagi meneliti SOP yang diguna pakai semasa pembukaan kembali Gereja. 

“Secara peribadi, tim kami berasa sedikit penat dalam melakukan persiapan. Namun setelah hari Minggu pertama pembukaan gereja, kami bersyukur dan bersukacita, kerana ia berjalan lancar dan pihak berwajib juga berpuas hati dengan pelaksanaan SOP kami,” kata Sdri Nancy.

Bonnyventure Slye Austine, salah seorang petugas dan juga belia yang melayani di KSFX yang membantu dalam mengawal keluar masuk umat berkata bahawa ratarata umat yang hadir ke Misa Kudus itu memberikan kerjasama dan mematuhi SOP.
Antara Paroki di Keuskupan Keningau yang juga telah memulakan kembali Misa Kudus ialah Paroki Toboh, Tambunan, Tenom, Sook dan Mission Kemabong. --KOMSOS KSFX

Perkongsian Uskup/Paderi yang memulakan semula Misa Kudus
“Minta maaf atas kesulitan, teruskan bersabar dan berdoa supaya “si Corona” cepat lenyap dari mukabumi, kepada golongan yang tidak dibolehkan menghadiri Misa (kanak-kanak dan warga emas 70 tahun ke atas) jangan kummaus, SOP ini bertujuan menjaga keselamatan, bukan pilih kasih, sebab “si Corona” lebih berminat kepada orang-orang tua, yang berpenyakit dan kanak-kanak.” --Uskup Cornelius Piong

“Saya ditempatkan di Gereja St. Anthony Apin-Apin untuk Misa pertama  selepas PKP.   Saya merasa terharu atas kehadiran umat yang amat merindukan perayaan Misa Kudus dan bekerjasama mematuhi SOP.

Pada masa yang sama saya merasa kehilangan sesuatu yang sudah menjadi kebiasaan apabila umat datang ke Gereja seperti bersalaman tangan dan saling berpelukan di antara keluarga dan saudara mara dalam kasih. Walau bagaimanapun melalui pengalaman ini saya dapat melihat betapa setiap peribadi manusia memerlukan makanan rohani yang dapat memuaskan dahaga  jiwa. -- Fr David Mamat, Katedral St Francis Xavier

“Semasa memimpin Misa online,  ada perasaan sedih kerana tidak nampak umat di hadapan. Kini, setelah Misa kembali dirayakan di Paroki St Yohanes Sipitang, saya amat bersyukur. Saya dapat merasai kegembiraan dan rasa rindu   terhadap Ekaristi di kalangan umat yang hadir.  Walaupun bilangan umat menghadiri Misa dibataskan, namun harapan dan doa kita tidak pernah berhenti agar pandemik  ini akan segera berakhir. -- Fr Francis Dakun, St Yohanes, Sipitang 

“Oleh kerana agak lama tidak menghadiri Misa Kudus umum, rata-rata yang dapat datang ke Misa Kudus pertama selepas PKP terlalu gembira malah ada yang mengalirkan airmata. Ramai umat juga yang masih takut merayakan Misa Kudus di Gereja dan memilih mengikuti Misa dalam talian. Semoga penawar kepada krisis kesihatan ini segera ditemui, Amen. -- Fr Rudolf Joannes, Paroki St Theresa, Tambunan

 

Total Comments:0

Name
Email
Comments