Umat St Thomas More diseru amal panggilan hidup Kristian sejati

Gereja Katolik St. Thomas More, Lembah Poring merupakan salah satu stasi luar Paroki yang bernaung di St.Patrick Membakut. Ia terletak kirakira 10 KM dari Pekan Membakut.

Jul 28, 2017

MEMBAKUT: Gereja Katolik St. Thomas More, Lembah Poring merupakan salah satu stasi luar Paroki yang bernaung di St.Patrick Membakut. Ia terletak kirakira 10 KM dari Pekan Membakut.

Pada 22 Jun lalu, gereja ini telah merayakan Hari Santo Penaung mereka iaitu St. Thomas More dan Ulang Tahun Keuskupan (UTK) ke 24 serta Pesta Kaamatan.

Perayaan tiga dalam satu ini telah dihadiri kira-kira 100 umat dari Kampung Lembah Poring, dan kampung-kampung sekitarnya. Turut memeriahkan majlis ialah kehadiran beberapa umat dari Gereja pusat, St Patrick Membakut.

Perayaan Ekaristi mengawali perayaan ini. Misa dipimpin oleh Paderi Paroki St Patrick, Fr Ronnie Luni.

Semasa menyampaikan homili, Fr Ronnie menyentuh pelbagai perkara dan fakta jelas tentang kehidupan dan keperibadian St. Thomas More.

Menurutnya, umat gereja St. Thomas More harus mengikuti teladan Santo Penaung mereka yang terkenal kerana keberanian dan kematirannya demi menegakkan ajaran Gereja.

Kata Paderi itu lagi, walaupun St Thomas More hanyalah seorang umat awam dan memegang jawatan tinggi dalam kerajaan tetapi St. Thomas berusaha hidup menurut ajaran Katolik yang sejati, berpuasa, berpantang dan bernazar, hidup bebas rasuah dan tidak tunduk kepada kuasa pihak atasan yang membelakangkan ajaran gereja. Oleh itu, Fr Ronnie menekankan sekali lagi agar umat dapat meniru tindakan iman St Thomas yang berani memilih iman dan mengutamakan Tuhan.

Selepas Misa, umat mendengar sesi ucapan daripada Pengerusi Penganjur Perayaan, Sdri Lydia Chen On Hee diikuti ucapan daripada Pengerusi Majlis Pastoral Paroki St.Patrick Membakut, Sdra Osmin Osmund Benati dan seterusnya ucapan perasmian daripada Fr Ronnie Luni.

Selepas ucapan perasmian, umat Gereja St. Thomas More Lembah Poring berpeluang mengenali dan mengetahui serba sedikit tentang kehidupan St. Thomas More melalui tayangan video singkat yang disediakan oleh Komiti Komunikasi Sosial (KOMSOS) Paroki St Patrick Membakut.

Semasa majlis makan tengah hari, umat gembira kerana berpeluang menikmati masakan tradisi masyarakat suku kaum Kadazan Dusun.

Dalam upacara memotong kek, ia disempurnakan oleh Fr Ronnie, Pengerusi Penganjur Sdri Lydia Chen On Hee, Pengerusi MPP Sdra Osmin Osmund Benati, Pengerusi Komuniti Umat Katolik (KUK) Sdra Cornelius Pan dan Katekis Louis Sinjun bersama dengan tiga orang umat yang telah menerima Komuni Pertama pada Hari Minggu Tubuh Dan Darah yang lalu.

Perayaan ini diteruskan dengan persembahan koir daripada anak-anak Sekolah Minggu dan paluan gong daripada umat-umat St. Thomas More Lembah Poring selain daripada nyanyian karaoke oleh Fr Ronnie dan umat yang hadir.--KOMSOS St Patrick, Membakut

Total Comments:0

Name
Email
Comments