Untuk umat di Tanah Suci: Doa tiada henti untuk anda

Sri Paus Fransiskus telah menulis kepada umat Katolik di Tanah Suci, meyakinkan mereka bahawa setiap hari, Bapa Suci memikirkan dan mendoakan mereka.

Apr 04, 2024

Upacara Jalan Salib di Yerusalem.


VATIKAN:
Sri Paus Fransiskus telah menulis kepada umat Katolik di Tanah Suci, meyakinkan mereka bahawa setiap hari, Bapa Suci memikirkan dan mendoakan mereka. “Saya memeluk anda semua, wahai umat Katolik yang dikasihi yang tinggal di seluruh Tanah Suci,” tulisnya, seraya menambah, “Saya mengingati dan memeluk mereka yang paling terjejas oleh tragedi perang yang tidak masuk akal: masa depan kanak-kanak yang telah dirompak, berdoa bagi mereka yang berduka dan dalam kesakitan serta semua yang menjadi mangsa kesusahan dan kekecewaan.”

Dalam suratnya yang dikeluarkan pada Mac 27, Bapa Suci mengiktiraf kepentingan Paskah bagi mereka yang tinggal di tempattempat yang disucikan oleh kehidupan, kematian dan kebangkitan Yesus.

Mengakui keinginan orang Kristian untuk kekal di tanah yang mereka diami selama berabad-abad, Sri Paus Fransiskus berkata adalah baik mereka tinggal terus di situ dan berterima kasih atas iman, amal dan harapan mereka.

Sri Paus mengenang kembali ziarahnya ke Tanah Suci pada tahun 2014 dan mengulangi kata-kata Santo Paulus VI, yang memberi amaran tentang “ancaman berterusan dan mengerikan” terhadap keamanan dan keselamatan serta ancaman kepada nilai-nilai kemanusiaan serta ketegangan yang berterusan di Timur Tengah.

Sri Paus Fransiskus menekankan peranan orang Kristian di Timur Tengah sebagai penjaga “tempat suci Tuhan” serta mewartakan “kesaksian mereka, melalui penderitaan [mereka]. Dengan kemampuan anda untuk bangkit dan maju ke depan, anda telah memberitakan dan terus mengisytiharkan bahawa Tuhan yang disalibkan telah bangkit dari antara orang mati.”

Bapa Suci kemudiannya mengongsikan doa yang didedikasikannya kepada orangorang Kristian di Tanah Suci: Tuhan, Engkaulah damai sejahtera kami (Efe 2:14-22). Engkau yang menyatakan “diberkatilah para pendamai” (Mat 5:9): bebaskanlah hati manusia dari kebencian, kekerasan dan semangat membalas dendam. Kami melihat akan teladan-Mu dan kami mengikuti-Mu, Yang pengasih, lemah lembut, dan rendah hati (lih. Mat 11:29).

“Semoga tidak ada yang merampas harapan anda untuk bangkit semula bersama-Mu. Semoga anda tidak jemu mempertahankan maruah setiap lelaki, wanita dan kanak-kanak, tanpa melihat agama, etnik atau kewarganegaraan, bermula dengan yang paling lemah di kalangan kita: wanita, orang tua, kanak-kanak dan orang miskin.

“Kami amat berharap agar tidak lama lagi, kami dapat datang ke tempat anda sebagai penziarah, untuk mendekati anda, memeluk anda, untuk memecahkan roti persaudaraan bersama anda sambil menyuburkan tunastunas harapan yang disemai dari benih kesabaran,” tulis Bapa Suci.

Selepas mengucapkan terima kasih kepada “uskup, imam, dan religius” atas usaha tanpa lelah mereka di kalangan orang ramai.

Mengakhiri suratnya, Sri Paus Fransiskus menyeru kepada umat Katolik di Tanah Suci agar memohon perlindungan Perawan Maria yang Terberkati, “puteri yang lahir di Tanah Suci.”

Bapa Suci juga menyeru orang Kristian di seluruh dunia “untuk menyatakan sokongan konkrit mereka kepada umat di Tanah Suci, berdoa tanpa jemu agar semua orang di Tanah Suci, akhirnya akan dapat tinggal dengan aman.” -- media Vatikan

Total Comments:0

Name
Email
Comments