Uskup Miri sambut ulang tahun imamat ke-25

Roh Kudus menguatkan dan memberkatinya selama 19 tahun menjadi paderi dan enam tahun sebagai gembala episkopal di Keuskupan Miri. Iman yang sekecil biji sesawi telah bertumbuh menjadi pohon yang teguh serta memimpin lebih 90 ribu umat Katolik di Miri.

Mar 21, 2020

MIRI: Roh Kudus menguatkan dan memberkatinya selama 19 tahun menjadi paderi dan enam tahun sebagai gembala episkopal di Keuskupan Miri.  Iman yang sekecil biji sesawi telah bertumbuh menjadi pohon yang teguh serta memimpin lebih 90 ribu umat Katolik  di Miri.

Uskup Richard Ng, merayakan ulang tahun imamatnya yang ke-25 pada 17 Feb, 2020 lalu di Katedral St Joseph Miri.

Dikenali sebagai Bapa Uskup yang peramah, tekun melayani dan pemimpin Gereja yang disegani,  Uskup Richard sentiasa berusaha melayani serta cuba menjangkau semua umat di seluruh pelosok Miri untuk memberikan pelayanan Sakramen dan mewartakan Khabar Sukacita Tuhan.

Prelatus itu bukan sahaja mahu umat di Keuskupan Miri membina iman sebaliknya menginginkan umat agar menghidupi Sabda Bahagia dalam perbuatan dan percakapan harian.

Perayaan jubli perak imamatnya mengingatkan kembali Uskup Richard semasa hari pentahbisannya. Katanya, beliau ditahbis bersama dengan Father Patrick Heng pada 18 Feb, 1995 oleh Uskup Agung Peter Chung di Katedral St Joseph, Kuching.

Beliau tidak akan lupa betapa meriahnya perayaan itu apabila ramai umat datang ke upacara pentahbisannya lebih-lebih lagi dari Paroki St Jude, Bunan Gega, di mana Uskup Richard melayani sebagai diakon.

Selepas ditahbis sebagai paderi, Uskup Richard telah diutus sebagai pembantu paderi di St Jude dan beliau amat teruja melayani di paroki itu di mana beliau  banyak turun padang ke kawasan pedalaman bagi memberikan pelayanan sakramen kepada umat di situ.

Selepas beberapa tahun, Uskup Richard ditugaskan di Serian dan di Katedral. Bertugas di beberapa tempat berlainan, memberikan visi dan pengalaman kepada Uskup Richard untuk melihat keperluan umat yang ternyata berbeza serta menggunakan pelbagai cara yang berkesan. Prelatus itu juga menyambung pengajian nya di Roma pada tahun 1999 yang memberinya peluang belajar pelbagai bahasa, melawat beberapa kota bersejarah dan bertemu mendiang Santo Paus Yohanes Paulus II.

Sekembalinya dari Roma, Uskup Richard kemudiannya mengajar Kitab Suci di Seminari Tinggi Sto Petrus Kuching sehinggalah menerima pelantikannya sebagai Uskup Miri pada 30 Oktober 2013. --Today's Catholic

Total Comments:0

Name
Email
Comments