Vatikan keluarkan garis panduan Minggu Suci, liturgi Paskah semasa musim pandemik

Komisi Liturgi Vatikan menerbitkan garis panduan untuk para uskup dan paderi bagi perayaan Minggu Suci, Triduum, dan liturgi Paskah semasa pandemik coronavirus.

Mar 28, 2020

ROMA, Itali: Komisi Liturgi Vatikan menerbitkan garis panduan  untuk para uskup dan paderi bagi perayaan Minggu Suci, Triduum, dan liturgi Paskah semasa pandemik coronavirus.

Dokumen itu menyarankan agar uskup menunda perayaan liturgi yang boleh ditangguhkan. Ia juga menggariskan bagaimana paderi dan uskup boleh merayakan perayaan-perayaan yang tidak dapat ditunda seperti Paskah, dan juga beberapa bahagian perayaan liturgi umum yang boleh ditangguh.

Kongregasi untuk Ibadat Ilahi dan Tatatertib Sakramen-sakramen menerbitkan “panduan umum” selepas menerima pertanyaan daripada beberapa uskup.

Keputusan itu ditandatangani oleh ketua kongregasi tersebut, Kardinal Robert Sarah dan Setiausaha Agung Uskup Arthur Roche dan diberi kuasa melalui “mandat daripada Sri Paus Agung, untuk tahun 2020 sahaja,” yang bermaksud bahawa saranan tersebut tidak dapat digunakan pada tahun-tahun mendatang.

“Paskah adalah ‘jantung’ kepada seluruh tahun liturgi dan bukan sekadar satu pesta,” kata dokumen itu, dan Triduum Paskah  “tidak boleh ditunda ke tarikh yang lain.”

Dokumen itu juga mengatakan bahawa uskup mempunyai mandat bagi menunda Misa Krisma Minggu Suci.

Triduum Paskah adalah tiga hari menjelang dan termasuk hari Minggu Paskah. Ia bermula selepas Misa Senja Khamis Putih dan berakhir pada Misa Senja hari Minggu Paskah.”

Dekri itu menyatakan bahawa, di tempat tempat di mana adanya perintah sekatan dari pihak berkuasa dan Gereja, para uskup, dengan persetujuan konferensi para uskup, boleh merayakan liturgi Triduum Paskah di katedral dan bagi para paderi paroki di keuskupan itu pula boleh merayakan liturgi di paroki masing-masing, tanpa kehadiran umat beriman.

“Para umat harus dimaklumkan tentang masa perayaan itu agar mereka dapat mengikuti siaran langsung melalui Internet.

Konferensi keuskupan dan uskup harus menyediakan maklumat atau sumber untuk menyokong keluarga dan individu untuk berdoa peribadi.

Dokumen itu juga menyediakan beberapa cadangan kepada paderi dan Uskup dalam merayakan liturgi. Semua paderi boleh merayakan Misa Kudus Khamis Putih di tempat yang sesuai, tanpa orang awam, tetapi tidak ada upacara pencucian kaki.

Perarakan Sakramen Mahakudus ke tempat ‘ruang adorasi’  yang biasa dilakukan pada akhir Misa Khamis Putih, juga harus ditiadakan dan Sakramen Mahakudus harus tetap berada di tabernakel.

Ibadat Jumaat Agung boleh dirayakan di gereja-gereja katedral dan paroki, di mana  langkah-langkah keselamatan harus diperhatikan dan doa permohonan sejagat harus memasukkan intensi bagi orang sakit, yang mati, dan orang-orang yang berasa  kecewa dan putus asa.

Garis panduan itu menyatakan bahawa Vigil Paskah hanya boleh dirayakan  di katedral dan gereja paroki, “di mana, jika ada kesempatan untuk merayakannya.”

Persiapan dan nyalaan api  pada "Permulaan Vigil atau Lucenarium ditiadakan. Pemberkatan Lilin Paskah, perarakan ditiadakan. Perayaan dimulai dengan penyalaan Lilin Paskah, diikuti dengan Proklamasi Paskah (Exsultet) dan kemudiannya diikuti dengan Liturgi Sabda. Misa diteruskan seperti biasa dan dalam “Liturgi Pembaptisan” perlu diadakan “pembaharuan janji baptis.” 

Dokumen tersebut menyatakan bahawa “mereka yang tidak mempunyai kemungkinan untuk menyatukan diri dengan Vigil Paskah di dalam gereja harus berdoa Ibadat Harian untuk hari Paskah.”

Perarakan dan devosi lain yang sering dilakukan semasa Minggu Suci dan Triduum Paskah boleh ditunda oleh Uskup diosis ke hari lain pada tahun ini, seperti 14 dan 15 September.--CNA

Total Comments:0

Name
Email
Comments